hujan love

Isnin, 17 Julai 2017

Belajar tentang Kehidupan




Kadang-kadang bila usia meningkat, kita muhasabah diri dan kita tersedar yang ada beberapa perkara kita terlewat belajar dalam hidup kita. Berikut adalah beberapa pengajaran hidup yang kita terlambat belajar dan mungkin sampai sekarang kita belum faham.

#1-Persepsi Adalah Realiti.

Cara setiap individual melihat sesuatu atau mentafsir sesuatu adalah berlainan dengan sebab kita masing-masing ada latar belakang yang berbeza. Kepercayaan kita mempengaruhi cara kita menjalani hidup kita. Persepsi kadang-kadang boleh jadi sebab kita salah faham dengan orang lain.
Alangkah rugiya jika kita tidak dapat menjalani hidup yang sepenuhnya, tidak melakukan sesuatu perkara yang patut, tidak berkawan dengan orang yang patut, mengelak daripada sesuatu atau memilih untuk tidak mengalaminya hanya kerana kita ada persepsi yang salah. Jangan terlalu jumud dalam kepercayaan dengan prinsip. Jika tidak bertentangan dengan nrma-norma kehidupan dan agama, cubalah untuk bersikap terbuka dan jangan terburu-terburu untuk mengadili.
Jangan malu untuk bertanya mengenai sesuatu bagi mendapatkan penjelasan dan memahami sesuatu perkara atau seseorang dalam konteks yang sebenarnya. Persepsi kita akan jadi realiti pada kita bukan pada orang. Jangan hidup dalam realiti yang salah pula.

#2– Semua Perkara Adalah Bersifat Sementara.

Semua orang pun tahu dunia ini sementara akhirat jualah yang kekal. Ini adalah kepercayaan setiap Muslim. Semua tahu tetapi susah nak hadam sebenarnya. Kalau hendak difikirkan balik, kita gembira, kita sedih, kita marah, kecewa dan sebagainya kerana perkara-perkara duniawi yang bersifat sementara. Pasal kerja, pasal akademik, pasal keluarga, pasal perhubungan, pasal orang sekeliling dan sebagainya. Peristiwa baik, peristiwa buruk, semuanya adalah sementara dan akan berlalu dibawa pergi masa.
Mungkin kesannya akan kekal, akan mempengaruhi cara kita berfikir, cara kita memberikan respon, cara kita membuat keputusan dan lain-lain. Jikalau perubahan kita ke arah yang lebih positif baguslah akan tetapi kalau ke arah lebih negatif, kita hanya merosakkan diri sendiri. Kita menyekat diri kita daripada melakukan perkara yang lebih besar dan mendapat peluang yang lebih besar.
Cuba untuk berlapang dada dan bersyukur dengan setiap perkara yang melanda. Bukan senang tetapi boleh diusahakan.Cuba nikmati setiap saat dalam kehidupan kerana masa yang lepas tidak akan kembali dan masa muda pasti akan berlalu pergi. Perkara yang buruk dalam hidup anda bukanlah pengakhiran jalan kehidupan akan tetapi permulaan untuk jalan baru dalam kehidupan.
Sama ada untuk terus berdiri melihat jalan yang sudah ditempuhi atau teruskan melangkah kehadapan, itu pilihan anda. Anda pilih. Ingat, yang penting adalah destinasi itu sendiri bukan perjalanan menuju ke destinasi. Buatlah keputusan yang terbaik dan gerakkan apa yang anda putuskan dengan sebaiknya.

#3– Yang Penting Adalah Hari Ini Untuk Esok.

Setiap daripada kita pasti ada perkara yang kita sesalkan. Sifat manusia itu membuat kesilapan supaya kita belajar daripadanya dan bersifat lebih matang. Momen-momen kehidupan akan bertukar jadi kenangan pada masa akan datang jadi lakukan yang terbaik.
Risaukan perkara yang telah berlaku dan belum lagi terjadi membuatkan kita jadi tidak produktif. Fokus pada masa lalu yang tidak dapat diubah sendiri adalah kerugian sedangkan jikalau kita fokus pada masa sekarang kemungkinan hasilnya lagi besar dan menguntungkan daripada apa yang telah berlaku pada masa lepas.

#4– Buat Apa Yang Anda Suka, Suka Apa Yang Anda Buat.

Kita dilahirkan dalam masyarakat yang memang suka mengadili dan menilai orang lain walaupun mereka tidak mengenali kita. Zaman ‘keyboard warrior’ ini, ada sahaja perkara yang kita lakukan nampak tidak kena di mata orang lain.
Perjalanan hidup adalah singkat dan tidak selalunya indah. Jika anda tidak gembira atau tidak suka dengan sesuatu perkara yang berlaku, kenal pasti kenapa anda berasa begitu dan cubalah untuk mengubahnya atau mengatasinya.
Disebalik pelbagai situasi yang melanda, kekal fokus untuk mencapai matlamat hidup anda. Jangan lupa untuk lakukan perkara yang anda suka dan boleh menggembirakan anda. Jangan terus bersedih dengan kegagalan tetapi berusahalah mengatasi kelemahan. Kalau kegagalaan datang berkali-kali, kenapa rasa hanya datang sekali? Kejayaan juga akan datang berkali-kali bukan hanya kerana keinginan anda tetapi kerana keazaman anda.
Jangan berhenti pelajari benda baharu dan bangunkan diri sendiri untuk lebih maju sebab kadang-kadang kejayaan belum kunjung tiba kerana kita sendiri yang belum bersedia.

#5-Anda Yang Boleh Gembirakan Diri Sendiri Bukan Orang Lain. 

Tiada orang lain yang dapat buat kita gembira kalau kita sendiri tidak gembira. Untuk gembira perlukan lakukan banyak perkara berbanding bersedih, lansung tidak mahu lakukan apa-apa. Anda boleh pilih mahu bergembira atau bersedih. Memilih untuk bergembira bermakna anda mengawal kehidupan anda snediri, anda tidak mahu terus kekal menjadi mangsa dan anda kekal bertenaga untuk menempuhi hari-hari mendatang.
Untuk memaksimakan hidup dalam kehidupan, kita kena sentiasa belajar untuk upgrade diri. Belajar bagaimana untuk menjalani hidup dalam kehidupan adalah satu proses bukan pertandingan. Jadi, jangan sesekali bandingan kehidupan anda dengan kehidupan mereka. Ada yang dapat belajar tinggi-tinggi tetapi tidak dapat kerja. Ada yang tidak belajar susah-susah tetapi rezeki tak berhenti mencurah.

Ada yang dapat kerja bagus tetapi hidup tidak tenang dan rasa tertekan. Ada tidak berkahwin walaupun sudah meningkat usia tetapi dapat melancong ke serata dunia. Ada yang berkahwin lama tetapi tidak dapat anak. Ada yang dapat belajar, bekerja, berkahwin, ada anak tetapi dihujung usianya tiada siapa yang menjaga. Setiap daripada kita akan menjalani takdir kita sendiri. Justeru jangan dibandingkan takdir hidup kita dengan orang.
Tiada orang yang akan terlepas daripada ujian. Perasaan suka dan duka itu ibarat pertukaran waktu siang dan malam, tidak dapat dipisahkan. Latih diri untuk bergembira dengan apa yang ada apatah lagi tatkal ujian dan musibah datang melanda perlukan latihan yang kuat. Latihan yang menguatkan fikiran dan jiwa kerana semua itu adalah di bawah kawalan kita.

Kita hidup cuma sekali jadi usahakan yang terbaik untuk sekali ini agar kehidupan kita yang sekali ini adalah yang terbaik untuk kita.

Tiada ulasan: